Wednesday, June 10, 2009

Perasaan malu benteng cegah perbuatan maksiat

HILANGNYA perasaan malu dalam jiwa boleh menyebabkan seseorang insan itu tanpa segan silu mengerjakan maksiat. Baru-baru ini kita digemparkan dengan tajuk utama akhbar, “Trend Baru Remaja Melayu: Kelab Tiada Dara”. Memetik laporan akhbar itu: “Walaupun masih belasan tahun, mereka bangga tiada dara. Kumpulan remaja Melayu terbabit juga menubuhkan kelab untuk bertukar teman lelaki. Ahlinya diwajibkan memakai tatu.” Ini hanyalah sekelumit pendedahan mengenai sikap anak muda kita yang semakin jauh hanyut hidup bergelumang maksiat disebabkan hilangnya sifat malu. Sehubungan itu, ada satu keperluan mendesak untuk menerapkan sifat malu iaitu aspek ditekankan ajaran Islam dalam jiwa setiap umat Islam.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya salah satu perkara yang sudah diketahui manusia dari kata-kata kenabian terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqolani: “Secara bahasa malu (al-Hayaa’) bermaksud perubahan yang ada pada diri seseorang kerana takut melakukan perbuatan dapat menimbulkan aib. Dari segi terminologi pula ia bererti perangai yang mendorong untuk menjauhi sesuatu yang buruk dan mencegah untuk tidak memberikan sesuatu hak kepada pemiliknya.” Malu adalah satu cabang daripada cabang iman kerana ia dapat menjadi faktor mendorong seseorang menjadi insan yang taat kepada segala perintah Allah dan mencegahnya daripada terjerumus dalam perbuatan maksiat.

Mengenai hubungan iman dan malu, Ibnu Quthaibah berkata, sifat malu dapat menghalang dan menghindarkan seseorang melakukan kemaksiatan seperti iman. Maka sifat malu disebut sebagai iman, seperti sesuatu dapat diberi nama dengan nama lain yang dapat menggantikan posisinya. Perasaan malu sudah diwarisi daripada nabi terdahulu kepada satu generasi ke generasi dan oleh itu anjuran supaya memiliki perasaan malu kekal menjadi sebahagian syarak bagi umat Nabi Muhammad SAW.

Sabda Baginda SAW supaya mereka yang tidak malu untuk berbuat sesuka hati mereka, ulama mentafsirkannya dengan tiga cara, pertama iaitu perintah berbentuk ancaman jika tiada malu, buatlah perkara bertentangan syarak kerana pasti akan dibalas Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Kerjakanlah olehmu apa-apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 40).

Kedua ialah perintah berbentuk penjelasan bahawa bagi sesiapa yang tidak memiliki perasaan malu maka dia tidak akan malu untuk melakukan apa juga perbuatan termasuk perkara yang bercanggah dengan syariat. Ia kerana yang mampu mencegah seseorang daripada mengerjakan maksiat adalah perasaan malu. Sabda Baginda SAw yang bermaksud: “Barang siapa melakukan pembohongan atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat duduknya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari).

Ketiga, perintah yang menunjukkan erti pembolehan seperti dijelaskan Imam al-Nawawi: “Perintah itu mengandungi erti pembolehan. Maksudnya, jika engkau ingin mengerjakan sesuatu, maka lihatlah jika perbuatan itu sesuatu yang menjadikan engkau tidak merasa malu kepada Allah dan manusia, maka lakukanlah. Jika tidak maka tinggalkanlah.”

Pendapat pertama adalah pandangan yang dipilih majoriti ulama dan lebih tepat. Demikianlah bagaimana Rasulullah SAW menitikberatkan umatnya menerapkan perasaan malu dalam kehidupan seharian kerana ia boleh menghalang seseorang melakukan perkara dilarang. Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri.

Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya. Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa’) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Tuesday, May 26, 2009

Perempuan.. Memang tak guna.....

Saya percaya bahawa apabila anda mula-mula membaca tajuknya, dan membacanya mengikut intonasi yang betul, anda tersangat tidak bersetuju. Sebelum anda mengatakan rasa tidak puas hati itu, eloklah dahulu bertenang dan baca dengan teliti semua fakta yang dikemukakan. Jika ada mana-mana point yang tidak tepat, sila betulkan saya. (boleh hantar pada ruangan komen dibawah)

1.Perempuan itu tidak guna kain yang
nipis untuk membuat bajunya, sehingga
terbayang kulitnya. Kerana dia tahu,
bahawa pakaian seperti itu adalah
pakaian yang layak dipakai oleh
perempuan jalang.

2. Perempuan memang tidak guna rantai
kaki yang berloceng untuk dililitkan
pada kakinya. Rantai ini apabila
dipakai walaupun tersembunyi tetap
bergemerincing dan menarik perhatian
orang lain, lebih-lebih lagi lelaki
JAHAT. Dia tahu sekiranya dia
memakainya juga dia telah melanggar
larangan Allah dalam ayat 31 surah An-
Nur.

3. Perempuan memang tidak guna minyak
wangi yang baunya semerbak. Wangian
sebegini mempunyai kuasa penyerakan
bau yang amat tinggi kerana kadar
kemeruwapannya tinggi. Biasanya
kekuatan bau ini menunjukkan kadar
kekompleksan rantai alcohol (secara
kimia) yg digunakan utk membuat
pewangi itu. Perempuan yang tidak
memakai wangian yang kuat ini tahu
bahawa inilah yang dipesan oleh nabi.
Sabda junjungan bahawa wanita yang
keluar rumah dgn memakai wangian,
adalah seperti pelacur. Bukan tidak
boleh berwangi-wangi tetapi
bersederhanalah dalam pemakaian wangian
tersebut.

4. Perempuan memang tidak guna kata-
kata yang keji, kerana dia tahu
sesiapa sahaja yang bercakap perkara
yang keji adalah mereka yang rendah
akhlaknya. Lelaki atau perempuan yang
bercakap menggunakan perkataan yang
buruk @ jahat, adalah seperti sepohon
pokok yang rosak akar tunjangnya. Dia
tahu bahawa perumpamaan perkataan yang
baik dan buruk dinyatakan dengan jelas
dalam ayat 24-26 surah Ibrahim.

5. Perempuan tidak guna masa berborak
untuk mengatakan hal-hal orang yang berada
di sekitarnya atau dengan kata lain
mengumpat, memperkatakan keabaian
saudaranya. Dia tahu bahawa sekiranya
orang yang suka mengumpat baik lelaki
atau perempuan dia seolah-olah memakan
daging saudaranya sendiri. Apakah
sanggup kita memakan daging saudara
sendiri? Persoalan ini ditanyakan
kepada kita dalam firmanNya ayat 12.
surah al-Hujurat.

6. Perempuan memang tidak guna tudung
tiga segi, apabila memakainya
diselempangkannya sehingga nyata
bentuk perbukitan pada badannya
(tudung siput babi). Sememangnya ia
menjadi tatapan mata lelaki yang jahat
yang terkena panahan syaitan. Dia tahu
apabila bertudung, dia mesti
melabuhkan tudungnya sehingga menutup
alur lehernya dan tidak menampakkan
bentuk di bahagian dadanya. Pesan
Rasul seperti yang disuruh oleh Allah
tersebut dalam ayat 59 al-Ahzab.
Begitu juga seorang lelaki yang
bergelar suami mesti memberi
peringatan untuk isteri dan anak-
anaknya.

7. Perempuan memang tidak guna lenggok
bahasa yang boleh menggoda seorang
lelaki. Jika bercakap dengan lelaki
yang bukan mahramnya, bercakaplah
dengan tegas. Jangan biarkan suara
lentukmu untuk menarik perhatian
lelaki yang sakit dalam hatinya.
Sememangnya suara perempuan bukanlah
aurat, jika aurat maka Allah tidak
akan menjadikan perempuan boleh
berkata-kata. Bertegaslah dalam
percakapan, jangan gunakan suaramu
untuk menarik perhatian lelaki
sehingga menjadi fitnah buatmu. Bahaya
suara wanita yang bercakap dengan gaya
memujuk yang boleh mencairkan keegoan
lelaki (yang bukan mahramnya) dicatat
dalam ayat 32 surah al-Ahzab. Makna
ayatnya lebih kurang begini"Maka
janganlah kamu tunduk dlm berbicara
sehingga berkeinginanlah orang yang
ada penyakit dalam hatinya dan
ucapkanlah perkataan yang baik"
'Tunduk' di sini ditafsirkan sebagai
berbicara dgn sikap yang boleh
menimbulkan keberanian orang untuk
bertindak jahat kepada mereka. "Penyakit
dalam hati" adalah keinginan seorang
lelaki untuk melakukan perbuatan sumbang
dengannya seperti berzina. Mengapa?
Lelaki sangat mudah tertarik kepada
seorang wanita melalui suaranya.

8. Perempuan memang tidak guna alat
make-up untuk menonjolkan
kejelitaannya melainkan di hadapan
suaminya sahaja. Adab bersolek
(tabarruj) ini amat ditekankan kepada
wanita muslim (muslimah) kerana
semestinya kecantikannya adalah hak
ekslusif yang mesti persembahkan
kepada suaminya. Jika ingin keluar
bekerja, dia memakai make-up secara
bersederhana sahaja sehingga tidak
jelas kelihatan pada wajahnya dia
bersolek. Jangan bersolek sehingga
cantiknya anda sehingga kadang-kadang wajah
anda menjadi seperti hantu. Hendak
bergincu? Jika bergincu, pakailah yang
tidak menyerlah warnanya.

9. Perempuan tidak guna kain tudung
yang jarang-jarang seperti jarangnya
jala yang digunakan untuk memukat
haiwan akuatik. Kerana apabila memakai
tudung seperti ini, akan nampak juga
bahagian yang sepatutnya ditutup rapi
dari pandangan orang lain. Rambut
adalah mahkota, tetapi jangan biarkan
mahkota itu tidak 'berharga' dengan
menayangkannya tanpa sebarang
perlindungan. Jika mahkota berharga
disimpan dengan rapi di dalam sangkar,
dan ditambah pula pengawal untuk
menjaga keselamatannya, maka demikian
juga dengan rambut wanita. Sangkar itu
adalah kain litup yang sempurna dan
pengawalnya pula adalah ilmu yang
diamalkan oleh anda untk memakainya
dengan
cara yang terbaik

# Sekiranya ada yang salah, harap dapat betulkan saya..


Manusia biasa


Assalamualaikum....

Semoga bermanfaat, baik untuk yang melamar ataupun yang dilamar, ataupun bagi yang sudah berumah tangga......

Renungan buat yang sedang mencari pasangan hidup ataupun yang sedang mengemudi bahtera rumah tangga..

Mengapa? Kerana dia manusia biasa ......

Kerana dia manusia biasa ..

Setiap kali ada sahabat yang ingin berkahwin, saya selalu mengajukan pertanyaan yang sama. Kenapa kamu memilih dia sebagai suami/isterimu?. Jawapannya ada bermacam-macam. Bermula dengan jawapan kerana Allah hinggalah jawapan duniawi.

Tapi ada satu jawapan yang sangat menyentuh hati saya. Hingga saat ini saya masih ingat setiap detail percakapannya. Jawapan dari salah seorang teman yang baru saja berkahwin. Proses menuju perkahwinannya sungguh ajaib. Mereka hanya berkenalan 2 bulan. Kemudian membuat keputusan untuk berkahwin. Persiapan perkahwinan mereka hanya dilakukan dalam waktu sebulan saja. Kalau dia seorang akhwat, saya tidak hairan. Proses perkahwinan seperti ini selalu dilakukan. Dia bukanlah akhwat, sebagaimana saya. Satu hal yang pasti, dia jenis wanita yang sangat berhati-hati dalam memilih suami.

Trauma dikhianati lelaki membuat dirinya sukar untuk membuka hati. Ketika dia memberitahu akan berkahwin, saya tidak menganggapnya serius. Mereka berdua baru kenal sebulan. Tapi saya berdoa, semoga ucapannya menjadi kenyataan. Saya tidak ingin melihatnya menangis lagi.

Sebulan kemudian dia menemui saya. Dia menyebutkan tarikh perkahwinannya. Serta meminta saya untuk memohon cuti, agar dapat menemaninya semasa majlis perkahwinan. Begitu banyak pertanyaan bermain di fikiran saya. Sebenarnya....!!!

Saya ingin tau, kenapa dia begitu mudah menerima lelaki itu. Ada apakah gerangannya?. Tentu suatu hal yang istimewa. Hingga dia boleh memutuskan untuk berkahwin secepat ini. Tapi sayang, saya sedang sibuk ketika itu (benar-benar sibuk).

Saya tidak dapat membantunya menyiapkan keperluan perkahwinannya. Beberapa kali dia menelefon saya untuk meminta pendapat tentang beberapa perkara. Beberapa kali saya telefon dia untuk menanyakan perkembangan persiapan perkahwinannya. That's all. Kami tenggelam dalam kesibukan masing-masing.

Saya menggambil cuti 2 hari sebelum perkahwinannya. Selama cuti itu saya memutuskan untuk menginap di rumahnya.

Pukul 11 malam sehari sebelum perkahwinannya, baru kami dapat berbual - hanya kami berdua. Hiruk pikuk persiapan akad nikah besok pagi, sungguh membelenggu kami. Pada awalnya kami ingin berbual tentang banyak hal.

Akhirnya, dapat juga kami berbual berdua. Ada banyak hal yang ingin saya tanyakan. Dia juga ingin bercerita banyak perkara kepada saya. Beberapa kali Mamanya mengetuk pintu, meminta kami tidur.

"Aku tak boleh tidur." Dia memandang saya dengan wajah bersahaja. Saya faham keadaannya ketika ini.

"Matikan saja lampunya, biar Mama sangka kita dah tidur."

"Ya.. ya." Dia mematikan lampu di dalam bilik dan menggantinya dengan lampu tidur yang samar. Kami meneruskan perbualan secara berbisik-bisik.

Suatu hal yang sudah lama sekali tidak kami lakukan. Kami berbual tentang banyak perkara, tentang masa lalu dan impian-impian kami. Wajah keriangannya nampak jelas dalam kesamaran. Memunculkan aura cinta yang menerangi bilik ketika itu. Hingga akhirnya terlontar juga sebuah pertanyaan yang selama ini saya pendamkan..

"Kenapa kamu memilih dia?" Dia tersenyum simpul lalu bangun meraih HP di bawah bantalku. Perlahan dia membuka laci meja hiasnya. Dengan bantuan lampu LCD HP dia mengais lembaran kertas di dalamnya.

Perlahan dia menutup laci kembali lalu menyerahkan sekeping sampul kepada saya. Saya menerima HP dari tangannya. Sampul putih panjang dengan cop surat syarikat tempat calon suaminya bekerja. Apa ni. Saya melihatnya tanpa mengerti. Eeh..., dia malah ketawa geli hati.

"Buka ja." Sebuah kertas saya tarik keluar. Kertas putih bersaiz A4, saya melihat warnanya putih. Hehehehehehe........

"Teruknya dia ni." Saya menggeleng-gelengkan kepala sambil menahan senyum. Sementara dia cuma ketawa melihat ekspresi saya. Saya mula membacanya. Saya membaca satu kalimat di atas, di barisan paling atas. Dan sampai saat ini pun saya masih hafal dengan kata-katanya. Begini isi surat itu:


****************************************************************************************************
Kepada Yth .........

Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu saya dan calon kakak buat adik-adik saya

Assalamu'alaikum Wr Wb

Mohon maaf kalau anda tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga akhir. Baru kemudian silakan dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai.

Saya, yang bernama ............... menginginkan anda ................ untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa. Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan.

Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anakku kelak.

Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamannya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak kepanasan dan tidak kehujanan..

Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa kelebihan. Saya menginginkan anda untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya. Saya hanya manusia biasa.. Cinta saya juga biasa saja.

Oleh kerana itu. Saya menginginkan anda supaya membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa.

Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sekuat tenaga menjadi suami dan ayah yang baik.

Kenapa saya memilih anda? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya memilih anda. Saya sudah sholat istiqarah berkali-kali, dan saya semakin mantap memilih anda.

Yang saya tahu, Saya memilih anda kerana Allah. Dan yang pasti, saya menikah untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari sekarang ini.

Saya memohon anda sholat istikharah dulu sebelum memberi jawaban pada saya. Saya beri masa minima 1 minggu, maksima 1 bulan. Semoga Allah ridho dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin

Wassalamu'alaikum Wr Wb


***************************************************************************************
Saya memandang surat itu lama. Berkali-kali saya membacanya. Baru kali ini saya membaca surat 'lamaran' yang begitu indah.

Sederhana, jujur dan realistik. Tanpa janji-janji yang melambung dan kata yang berbunga-bunga. Surat cinta biasa.

Saya menatap sahabat di samping saya. Dia menatap saya dengan senyum tertahan.

"Kenapa kamu memilih dia.......?"

"Kerana dia manusia biasa......." Dia menjawab mantap. "Dia sedar bahawa dia manusia biasa. Dia masih punya Allah yang mengatur hidupnya.

Yang aku tahu dia akan selalu berusaha tapi dia tidak menjanjikan apa-apa. Soalnya dia tidak tahu, apa yang akan terjadi pada kami kemudian hari. Entah kenapa, justeru itu memberikan kesenangan tersendiri buat aku."

"Maksudnya?"

"Dunia ini fana. Apa yang kita punya hari ini belum tentu besok masih ada. betul tak?. Paling tidak.... Aku tau bahawa dia tidak akan frust kalau suatu masa nanti kami jadi miskin.

"Sshh......." Saya menutup mulutnya. Khuatir kalau ada yang tau kami belum tidur. Terdiam kami memasang telinga.

Sunyi. Suara cengkerik terdengar nyaring di luar tembok. Kami saling berpandangan lalu gelak sambil menutup mulut masing-masing.

"Sudah la. Tidur dulu. Esok kamu mengantuk, aku pula yang dimarahi Mama." Kami kembali berbaring. Tapi mata ini tidak boleh pejam. Percakapan kami tadi masih terngiang terus di telinga saya.

"Emh....."

"Tidur...... Dah malam." Saya berkata tanpa menoleh padanya. Saya ingin dia tidur, agar dia kelihatan cantik esok pagi. Rasa mengantuk saya telah hilang, rasanya tidak akan tidur semalaman ini.

Satu lagi pelajaran dari perkahwinan saya peroleh hari itu. Ketika manusia sedar dengan kemanusiannya. Sedar bahawa ada hal lain yang mengatur segala kehidupannya. Begitu juga dengan sebuah perkahwinan. Suratan jodoh sudah terpahat sejak ruh ditiupkan ke dalam rahim. Tidak ada seorang pun yang tahu bagaimana dan berapa lama perkahwinannya kelak.

Lalu menjadikan proses menuju perkahwinan bukanlah sebagai beban tetapi sebuah 'proses usaha'. Betapa indah bila proses menuju perkahwinan mengabaikan harta, takhta dan 'nama'.

Status diri yang selama ini melekat dan dibanggakan (aku anak orang ini/itu), ditanggalkan.

Ketika segala yang 'melekat' pada diri bukanlah dijadikan pertimbangan yang utama. Perkahwinan hanya dilandasi kerana Allah semata. Diniatkan untuk ibadah. Menyerahkan segalanya pada Allah yang membuat senarionya.

Maka semua menjadi indah.

Hanya Allah yang mampu menggerakkan hati setiap HambaNYA. Hanya Allah yang mampu memudahkan segala urusan. Hanya Allah yang mampu menyegerakan sebuah perkahwinan.

Kita hanya boleh memohon keredhoan Allah. MemintaNYA mengurniakan barokah dalam sebuah perkahwinan. Hanya Allah jua yang akan menjaga ketenangan dan kemantapan untuk menikah.

Jadi, bagaimana dengan cinta?

Ibu saya pernah berkata, cinta itu proses. Proses dari ada, menjadi hadir, lalu tumbuh, kemudian merawatnya.

Agar cinta itu dapat bersemi dengan indah menaungi dua insan dalam perkahwinan yang suci. Cinta tumbuh kerana suami/isteri (belahan jiwa).

Cinta paling halal dan suci. Cinta dua manusia biasa, yang berusaha menggabungkannya agar menjadi cinta yang luar biasa. Amin.

Wallahu 'alam


10 Hadiah ALLAH Bagi Orang Bertaqwa

Kehidupan orang-orang bertaqwa sangat indah & penuh keuntungan. Di dunia lagi Allah telah janjikan pelbagai "hadiah", sebagaimana digambarkan-Nya dalam Al-Quran:
  1. Sentiasa mendapat petunjuk - "Mereka itulah (orang-orang bertaqwa) yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung." (Al-Baqarah: 5)
  2. Diberi penyelesaian dari masalah - "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan diberikan kepadanya jalan keluar." (At-Thalaq: 2)
  3. Dipermudahkan segala urusan - "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya segala urusannya." (At-Thalaq: 4)
  4. Mendapat rezeki dari sumber tidak terduga - "... dan memberinya (orang bertaqwa) rezeki dari sumber yang tidak terduga." (At-Thalaq: 3)
  5. Dikasihi Allah (dengan itu turut dikasihi malaikat dan manusia) - "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa." (Ali Imran: 76)
  6. Mendapat keberkatan dari langit dan bumi - "Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi." (Al-A'raf: 96)
  7. Mendapat keselamatan, pertolongan dan lindungan dari Allah - "Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertaqwa." (Al-Fussilat: 18)
  8. Mendapat kemenangan - "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan." (An-Naba: 31)
  9. Terpelihara dari tipu daya musuh - "Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu." (Ali Imran: 120)
  10. Diberikan 'furqan' (petunjuk untuk membezakan yang benar dan salah) - "Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan." (Al-Anfal: 29)

Perjalananku

Assalamualaikum....
Rasanya dah lama saya x update blog. Baru saja selesai latihan industri. Alhamdulillah, smuanya berjalan dengan lancar. Pasti diri ini akan merindui staf-staf di Jabatan Alam Sekitar Perlis. Kalian smua memang best. Presentation pun dah selesai. Tunggu nak konvo ja ni. Pening jugak memikirkan nak watpe lepas ni, sambung master atau keja+master. Walau apa pun, perjuangan akan tetap diteruskan. Doakan segalanya yang akan saya lakukan dipermudahkan Allah...